Friday, August 29, 2008

Mem'puasa'kan kemerdekaan

1. Selalu orang menggunakan perkataan kita merayakan kemerdekaan. Namun, bukankah raya itu datang sesudah berpuasa?

2. Tidak wajar rasanya kita beraya seandainya tiada secubit kepenatan dan keletihan dibuat sebelum itu. Wajarkah kita menyambut kemerdekaan kita andainya kita tidak merasai dan berkongsi keperitan dan sengsara untuk mendapatkannya?

3. Marilah kita selongkar kitab sejarah pejuang kemerdekaan untuk menghayati kisah perjuangan mereka. Mereka sudah berkorban banyak perkara untuk mendapatkan kemerdekaan ini. Kita halau keluar penjajah jepun dan british. Bukan sedikit darah yang tumpah. Bukan sedikit air mata yang mengalir.

4. Ya.. kita perlu hargai mereka.Kita perlu rasa syukur atas kemerdekaan ini.

5. Lalu,Sambutan kemerdekaan dibuat di seluruh pelusuk negara. Saban tahun,sambutan semakin gempak dan gah. Persembahan bunga api sudah pasti mengisi ruang angkasa malam nanti. Hebat. Memang gempak. Sambutan kita memang 'world class'.

6. Namun, apalah ertinya semua itu sekiranya banyak lagi perkara yang kita terlepas pandang. Lihatlah sahaja peristiwa-peristiwa hitam di sekeliling kita.



7. Oleh itu, sudah tiba masanya untuk kita mem'puasa'kan kemerdekaan ini. Puasa dalam konteks menghentikan kegiatan yang tidak bermoral dan tidak beretika.

8. Hentikan keseronokan mengimport budaya penjajah. Jangan memperlekeh dan menghina usaha datuk moyang kita dahulu. Dulu mereka berusaha keras menghalau penjajah, kini kita pula terhegeh-hegeh menjemput mereka menjajah kita. Ya, Menjajah minda kita.

9. Natijahnya... (izinkan untuk bergurindam)

Maksiat naik bertingkat-tingkat. Tidak dipeduli lagi adat dan syariat. Lelaki dan perempuan duduk makin rapat. Bila dah rapat mula peluk erat-erat. Hilang sudah Allah dan malaikat. Lalu perut kempis menjadi bulat. Mulalah nafas tenang jadi tenat. Timbul pula fikiran sesat. Anak yang dilahirkan dibuang cepat-cepat. Macamana hidup nak berkat? Kalau maksiat dah jadi adat. Moga sempat untuk bertaubat.

10. Oleh itu, marilah kita mem'puasa'kan kemerdekaan. Bukankah puasa itu bertujuan untuk melahirkan umat yang bertaqwa. Kebetulan pula tahun ini selang sehari dari tarikh merdeka umat Islam akan menyambut 1 Ramadhan iaitu pada 1 Semptember 2008.

11. Semoga kita melihat kemerdekaan dengan konteks yang lebih luas lagi. Rakan Masjid UTP sama sekali tidak akan redho melihat kemerdekaan ini dicalit dengan kemungkaran seperti tarian artis2 wanita waima berdua-duaan dengan pasangan bukan muhrim anda.

12. Semoga kita terus mencari berkat dan redho Ilahi dalam setiap kerja buat kita. Amin

Mohd Hakim bin Mohd Nor
Presiden Rakan Masjid UTP
7.30 pagi
30 Ogos 2008

No comments: