Saturday, August 9, 2008

Kalam Presiden Rakan Masjid (2) Isu Akademik dan Maksiat

Bismillahirahmanirahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Acapkali telinga ini mendengar persoalan lazim mahasiswa, “ Alamak. Susahnya subjek nie. Dah baca banyak kali pun tak faham-faham.” Tidak kurang juga yang mengeluh selepas keluar dari dewan peperiksaan. “Aduhai. Susah sungguh soalan tadi. Latihan dah buat banyak kali, tapi asyik tak dapat nak jawab aje bila exam”. Jika dihimpun bertingkat-tingkat semua keluhan dan rintihan ini, mungkin bangunan setinggi KLCC pun boleh terhapus dari pandangan mata kita.

Persoalannya, mengapakah keluhan ini seringkali keluar dari mahasiswa islam sedangkan kita dilabel dalam Al-Quran sebagai umat yang terbaik? Status terbaik itu sendiri sepatutnya menggambarkan bahawa kitalah johan dan ‘leader’ dalam apa jua bidang yang diceburi. Anehnya, kenapakah perkara itu jarang berlaku dalam bidang akademik? Dalam mencari jawapan kepada persoalan keramat ini, rupa-rupanya persoalan ini telah pun terjawab beberapa ratus tahun yang lampau.

Imam Syafie bertanya kepada gurunya Imam Waqie, “Mengapakah saya tidak dapat memahami dan menghafal pelajaran pada hari ini?” Lalu jawab Imam Waqi “ Sesungguhnya Ilmu itu cahaya dan cahaya tidak akan masuk ke dalam jiwa yang kotor dengan maksiat”. Sedangkan Imam Syafie yang merupakan ulama mazhab yang hebat pun terganggu pembelajarannya hanya kerana terlihat secara tidak sengaja betis wanita, apatah lagi kita yang setiap hari mungkin bergelumang dengan dosa-dosa samada secara sengaja atau tidak.

Justeru, amatlah penting bagi kita untuk mengkoreksi diri agar Ilmu yang kita pelajari itu diberkati oleh Allah. Kadangkala kita alpa dan lalai hingga secara tidak sedar terjebak dengan maksiat samada seoarang diri ataupun beramai-ramai. Sudah tentu kita tidak mahu ilmu yang kita pelajari dengan susah payah hilang begitu sahaja kerana maksiat yang kita lakukan ini.


Secara khususnya di UTP, terdapat beberapa maksiat yang dilakukan secara kerap hinggakan seolah-olah telah menjadi kebiasaan atau “habit” di kalangan warga kampus. Antaranya ialah penganjuran “event” yang diselitkan unsur maksiat seperti tarian wanita, pencampuran penonton lelaki dan wanita yang tidak terkawal, pakaian “performer” yang tidak menutup aurat dan banyak lagi . Semua ini bukan sahaja menggelapkan hati kita, bahkan seolah-olah sengaja mengundang amarah Allah. Sedihnya, ada di kalangan kita tahu perkara ini salah dan maksiat tapi masih mahu melakukannya.

Justeru, marilah kita bersama duduk sejenak berfikir kearah mana halatuju hidup kita selepas ini. Mengapakah setelah terbentang di hadapan kita petunjuk dan hidayah, masih ada yang menolaknya? Mungkin ada yang merasakan walaupun dengan melakukan dosa dan maksiat dia masih mampu mencapai kejayaan dalam akademik. Namun,banggakah kita mencapai kejayaan tersebut sedangkan saham akhirat kita tipis dan mungkin kering kontang?

Di hadapan kita telah terbentang dua jalan, satu membawa ke syurga manakala satu lagi membawa ke neraka. Pilihan ada di hati kita. Buatlah pilihan yang terbaik. Hanya hati yang bersih dapat membimbing kita ke syurga dan ianya datang setelah kita menghindari perbuatan-perbuatan dosa.

Kami di Rakan Masjid sentiasa berharap agar kita mahasiswa Islam bukan sahaja mampu menjadi Hamba Allah yang diredhainya, bahkan mampu menggegar dunia akademik dengan kejayaan-kejayaan yang membanggakan. Mulakan langkah pertama kita untuk merangkul kejayaan itu dengan menghindari perbuatan maksiat. Marilah kita buktikan bahawa Umat Islam itu memang yang terbaik samada dari segi akhlak , muamalat dan juga akademik!!! Insya Allah.

Sabtu

9 Ogos 2008

1.00 tengahari

Mohd Hakim Bin Mohd Nor,

Presiden Rakan Masjid,

Universiti Teknologi PETRONAS.

019-5708755

mohdhakim@rakanmasjid.com

No comments: