Sunday, August 31, 2008

MAJLIS PERASMIAN 'RAMADHAN DISCOVERY'

Pada hari Selasa bersamaan dengan 26 Ogos 2008 yang lepas, Rakan Masjid UTP telah menganjurkan Majlis Perasmian 'Ramadhan Discovery' bertempat di Dewan Serbaguna UTP. Acara bermula pada jam 9.40 malam dan dihadiri oleh para pelajar UTP tidak kira pelajar tempatan ataupun luar negara. Majlis ini telah dirasmikan oleh Dr Fakhruldin, salah seorang pensyarah yang tidak kurang asing di kalangan pelajar UTP.

Majlis dihiburkan lagi dengan persembahan daripada Tronoh Teater Shop ( TTS ) yang membawa sketsa berkisar mengenai erti puasa itu sendiri. kelihatan para penonton amat terhibur dengan persembahan yang dilakukan. Majlis kali ini menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi.

Majlis Perasmian ini berakhir pada ham 10.45 malam. walaupun keadaan di luar dewan hujan, ianya tidak langsung mematahkan semangat para pelajar UTP untuk datang demi memeriahkan majlis perasmian ini. Ucapan syabas dan tahniah diucapkan kepada pengarah program ini, beserta anak-anak buahnya.

Ramadhan Discovery merupakan satu nafas baru yang diberikan terhadap Minggu Penghayatan Ramadhan. Sebelum ini, ianya dikenali sebagai Minggu Penghayatan Ramadhan ( MPR ) yang mana pelbagai aktiviti yang telah dijalankan semata-mata untuk menyedarkan orang ramai mengenai kehadiran bulan Ramadhan itu sendiri serta penghayatan sepanjang bulan ini berjalan. Nafas baru ini diberikan juga bersempena dengan sambutan 5 tahun MPR itu sendiri.

Kali ini, pelbagai aktiviti menarik yang bakal dijalankan. Antara nya:
1. Ramadhan Food Fiesta
2. Treasure of Iman
3. Khidmat Bakti Siswa
4. Warkah Aidilfitri
5. Iftar
6. The Qurra

Oleh itu, sama-samalah kita memeriahkan aktiviti-akitiviti ini demi menghidupkan bulan Ramadhan yang datang sekali setahun ini. Moga kita semua mendapat rahmat daripada Allah s.w.t.

Selamat menjalani ibadah puasa~ (^^)

Muhammad Za'im bin Kamarrulzaman
Timbalan Presiden Rakan Masjid UTP
5.36 petang
31 Ogos 2008

Saturday, August 30, 2008

Simposium Nuqaba Rakan Masjid


1. “ Abang Hakim, usrah tu wajib ke? “ satu soalan keluar dari peserta muslimat Simposium Nuqaba’ anjuran Rakan Masjid. Kelihatan muka peserta yang lain menanti dengan penuh tanda tanya.



2. “ Usrah itu wajib dan tak wajib”. Jawab ana dengan tenang dan yakin. “Aik, macam mana pula tu?” Soal pula peserta muslimat yang lain. Ana sudah duga persoalan itu akan keluar. Mulut mengukir senyum. Bagus, stratergi untuk memancing minat mereka bertanya dah mengena.

3. “Begini, usrah itu wajib kepada orang yang menjadi ahli da’wah dan tidak wajib kepada yang bukan ahli da’wah.” Permulaan jawapan yang sengaja dibiarkan berselirat. Ya. Umpan mengena lagi, kali ini dari adik muslimin. “Erm.. macam mana tu abang hakim, bukan ke setiap orang yang mengatakan lailaha illa allah itu seorang daie”. Jelas kelihatan dan keserabutan di muka setiap peserta.

4. Slot tengahari memang sukar untuk dipenuhi. Mata mudah mengantuk. Badan cepat letih. Sebab itu ana mengambil pendekatan provokasi dalam menyempurnakan slot ketika cinta bertasbih tengahari ini. Slot yang menjemput naqib yang pernah mengendalikan smart group dengan jayanya satu ketika dahulu. Entah kenapa, komiti gatal menjemput ana dan ana pula terlepas cakap memberi persetujuan. Sedangkan, ana bukanlah yang terbaik. Namun, kerana Allah demi Islam, ana galas juga amanah ini.

5. Ana menjawab, “Sebenarnya, kewajiban menyertai usrah ini jatuh kepada ahli da’wah iaitu orang yang telah berintima’ @ menyertai jemaah islam secara langsung. Sebagai analogi, hanya orang yang mendaftar di university sahaja yang wajib masuk ke lecture. Masyarakat yang tidak mendaftar di universiti tidak wajib untuk masuk ke lecture walaupun umur mereka sebaya.”

6. Justeru, dengan persetujuan menyertai jemaah islam bererti kita telah bersetuju menurut segala perancangan yang disusun oleh jemaah. Perkara pokok sebuah jemaah ialah tarbiyyahnya dan tunjang tarbiyyah ialah usrah.

7. Menyertai usrah adalah wajib kepada ahli jemaah kerana disitu tempat percambahan fikrah jemaah berlaku. “Abang Hakim, maknanya usrah tue tempat kita menuntut ilmu ye?” seorang peserta mengajukan soalan. Ana tersenyum. Bagus, mereka semua bersemangat dan tidak tidur.

8. “Usrah bukanlah tempat menuntut ilmu!” Beberapa orang peserta kelihatan tercengang dan terkebil-kebil mata. Ana menyambung lagi, “Usrah juga bukanlah tempat untuk berukhuwwah” Kelihatan kerut di beberapa muka peserta. Sengaja ana biarkan mereka terus berfikir.

9. Sebenarnya usrah adalah tempat untuk kita berbincang, bukan untuk menadah kitab. Usrah bukanlah tempat untuk berukhuwwah, tapi tempat untuk membina ukhuwwah. Outcome dari usrah barulah kita katakan mendapat ilmu dan ukhuwwah.

10. Sebagai analogi, di kilang kereta, orang tak naik kereta. Di situ tempat buat kereta. Dari besi yang besar, keras serta tidak berwarna, ia diketuk, dipanaskan , di pandu uji , dibentuk acuan dan kemudian dicat. Besi itu dipasangkan pula dengan stering, tayar , cermin dan pelbagai lagi. Setelah proses ‘tarbiyah’ itu berlaku, barulah sebuah kereta yang canggih dan lawa di pasarkan. Berebut-rebutlah kita memuji kemantapan kereta itu. Itu jika proses pembuatannya teliti, kalau cincai…. Bersiap sedialah dengan komen dan kutukan pengguna.

11. Begitulah dengan usrah, segala proses pembentukan itu berlaku dalam usrah. Dari seorang yang tidak dikenali kepada orang yang terkenal. Hasilnya hanya dapat dilihat di luar usrah. Sebab itu dahulu pernah dipopularkan satu istilah, “Usrah yang sebenar bermula dengan tasbih kafarah dan berakhir dengan al fatihah.”

12. Muka peserta sudah mula cerah. Awan redup keliru mula berarak pergi. Kini perlu menghuraikan jawapan tidak wajib usrah pula. Peserta semakin tekun dan fokus. Perasaan ingin tahu mereka dicabar. Bagaimana satu soalan boleh ada dua jawapan yang bertentangan?

13. Tidak wajib menyertai usrah kerana dia bukan ahli da’wah. Menurut al Fadhil Ustaz Fathi Yakan, mad’u boleh diklasifikasikan kepada 2 golongan. Golongan istifadiah dan golongan jamhariah.

14. Golongan istifadiah ialah golongan ekslusif. Mereka sudah ada kesedaran islam. Bahkan mereka sudah mula dan mahu menyebarkan islam. Bagi golongan ini, mereka wajib berusrah kerana mereka merupakan golongan yang sudah berintima dengan jemaah. Mereka inilah yang kita gelarkan sebagai ahli da’wah.

15. Golongan jamhariah ialah golongan orang awam. Mereka baru nak berjinak-jinak dengan Islam. Kalau di UTP, mereka ialah adik-adik smart group. Mereka belum lagi menjadi ahli da’wah. Pendekatan kena berbeza dengan orang yang berlatar belakang pendidikan Islam. Kena banyakkan program sampingan seperti ziarah, riadah, makan bersama, rehlah dan apa sahaja yang boleh menarik minat.

16. Rumusan sudah dibuat. Peserta mengangguk-angguk tanda faham. Selepas habis slot tengahari itu, ana pasang satu video klip gambar usrah yang ana kendalikan. Ada yang kehairanan. Tiada pun ‘sut usrah’ yang kami pakai ketika usrah?

17. Ya, memang tiada set jubah dan serban dalam usrah kami. Wahai adikku sayang, tiada siapa kata usrah hanya boleh dijalankan di masjid semata bukan? Ingatlah , usrah bukanlah tempat untuk menuntut ilmu, tapi tempat untuk membina kefahaman. Selamat berusrah adik-adikku. (^^)/

Friday, August 29, 2008

Mem'puasa'kan kemerdekaan

1. Selalu orang menggunakan perkataan kita merayakan kemerdekaan. Namun, bukankah raya itu datang sesudah berpuasa?

2. Tidak wajar rasanya kita beraya seandainya tiada secubit kepenatan dan keletihan dibuat sebelum itu. Wajarkah kita menyambut kemerdekaan kita andainya kita tidak merasai dan berkongsi keperitan dan sengsara untuk mendapatkannya?

3. Marilah kita selongkar kitab sejarah pejuang kemerdekaan untuk menghayati kisah perjuangan mereka. Mereka sudah berkorban banyak perkara untuk mendapatkan kemerdekaan ini. Kita halau keluar penjajah jepun dan british. Bukan sedikit darah yang tumpah. Bukan sedikit air mata yang mengalir.

4. Ya.. kita perlu hargai mereka.Kita perlu rasa syukur atas kemerdekaan ini.

5. Lalu,Sambutan kemerdekaan dibuat di seluruh pelusuk negara. Saban tahun,sambutan semakin gempak dan gah. Persembahan bunga api sudah pasti mengisi ruang angkasa malam nanti. Hebat. Memang gempak. Sambutan kita memang 'world class'.

6. Namun, apalah ertinya semua itu sekiranya banyak lagi perkara yang kita terlepas pandang. Lihatlah sahaja peristiwa-peristiwa hitam di sekeliling kita.



7. Oleh itu, sudah tiba masanya untuk kita mem'puasa'kan kemerdekaan ini. Puasa dalam konteks menghentikan kegiatan yang tidak bermoral dan tidak beretika.

8. Hentikan keseronokan mengimport budaya penjajah. Jangan memperlekeh dan menghina usaha datuk moyang kita dahulu. Dulu mereka berusaha keras menghalau penjajah, kini kita pula terhegeh-hegeh menjemput mereka menjajah kita. Ya, Menjajah minda kita.

9. Natijahnya... (izinkan untuk bergurindam)

Maksiat naik bertingkat-tingkat. Tidak dipeduli lagi adat dan syariat. Lelaki dan perempuan duduk makin rapat. Bila dah rapat mula peluk erat-erat. Hilang sudah Allah dan malaikat. Lalu perut kempis menjadi bulat. Mulalah nafas tenang jadi tenat. Timbul pula fikiran sesat. Anak yang dilahirkan dibuang cepat-cepat. Macamana hidup nak berkat? Kalau maksiat dah jadi adat. Moga sempat untuk bertaubat.

10. Oleh itu, marilah kita mem'puasa'kan kemerdekaan. Bukankah puasa itu bertujuan untuk melahirkan umat yang bertaqwa. Kebetulan pula tahun ini selang sehari dari tarikh merdeka umat Islam akan menyambut 1 Ramadhan iaitu pada 1 Semptember 2008.

11. Semoga kita melihat kemerdekaan dengan konteks yang lebih luas lagi. Rakan Masjid UTP sama sekali tidak akan redho melihat kemerdekaan ini dicalit dengan kemungkaran seperti tarian artis2 wanita waima berdua-duaan dengan pasangan bukan muhrim anda.

12. Semoga kita terus mencari berkat dan redho Ilahi dalam setiap kerja buat kita. Amin

Mohd Hakim bin Mohd Nor
Presiden Rakan Masjid UTP
7.30 pagi
30 Ogos 2008

Monday, August 11, 2008

Lawatan ke kampung orang asli

Pada hari Ahad lepas, 10 Ogos 2008. Satu lawatan kerja dibuat oleh Unit Pentadbiran Masjid dan Rakan Masjid Universiti Teknologi PETRONAS. Lawatan ini disertai oleh
1) Ustaz Dawi Cahyono
2) Ustaz Zuriat
3) Mohd Hakim (Presiden Rakan Masjid)
4) Ahmad Farhan ( Setiausaha Rakan Masjid)
5) Hafiz ( AJK Lajnah Da'wah dan Penerangan)
6) Azman (AJK Lajnah Da'wah dan Penerangan)

Lawatan kerja ini dibuat ke kampung orang asli yang bertempat di Kg Ayer Denak, Kampung Bali, Tronoh, Perak. Tujuan utama lawatan ini adalah untuk bertemu dengan tok batin dan juga imam di kampung ini untuk memaklumkan bahawa kg ayer denak ini telah dimasukkan ke dalam kawasan qariah masjid an-nur UTP.


Perjalanan menuju ke perkampungan orang asli menaiki kereta Ustaz Dawi. Mengambil masa setengah jam dari UTP.

Gambar rumah penduduk orang asli. Daif dan menginsafkan.

Di sana kami bersyukur kerana mendapati surau kampung itu masih tersergam indah dan boleh digunakan. Cuma kemudahan elektrik dan air sahaja yang terbatas. Mungkin dipotong kerana tidak dibayar. Kami cuma untuk mendapatkan maklumat dari penduduk kampung mengenai orang islam yang ada di kampung itu. Mengejutkan... tiada seorang pun muslim di kampung itu!!


Ustaz Dawi dan Akh Farhan menuju ke surau kuning

Menurut sumber itu, sebelum ini ada 5 orang islam yang ada di kampung itu dan mereka berlima inilah yang mengimarahkan surau itu. Kini, 5 orang islam itu telah tiada dan difahamkan mengikut kumpulan tabligh ke kelantan.


Berbual-bual dengan penduduk yang tinggal berhampiran surau untuk mendapatkan info.

Presiden Rakan Masjid (tiga dari kanan) sedang menerangkan maksud dan tujuan ziarah pada petang itu kepada penduduk. Turut kelihatan ialah Ustaz Dawi (empat dari kanan), akh Farhan, Setiausaha 1 RakanMasjid (dua dari kanan) dan akh Hafiz, wartawan dari Lajnah Da'wah dan Perhubungan ( kanan sekali)

Justeru, ana merasakan bahawa perlu ada usaha-usaha da;wah yang terancang dan stratergi untuk menghidupkan kembali qariah ini dengan nur islam. Malulah kita dengan mubaligh kristian yang sanggup meninggalkan keluarga dan kesenangan untuk masuk ke ceruk2 pendalaman semata-mata untuk mengkristiankan penduduk pendalam itu.

Kampung ini amat hampir dengan kita. Perjalanan menaiki kereta tak sampai setengah jam. Amat dekat. Justeru, Tanggungjawab da;wah itu semestinya jatuh ke bahu kita. Sesungguhnya,jalan da'wah itu terbentang luas di hadapan kita. Marilah kita fikirkan bersama, apa yang boleh kita sumbangkan untuk Islam...

Mohd Hakim Mohd Nor
Presiden Rakan Masjid

Waktu Dhuha
Selasa
12 ogos 2008


Saturday, August 9, 2008

Kalam Presiden Rakan Masjid (2) Isu Akademik dan Maksiat

Bismillahirahmanirahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Acapkali telinga ini mendengar persoalan lazim mahasiswa, “ Alamak. Susahnya subjek nie. Dah baca banyak kali pun tak faham-faham.” Tidak kurang juga yang mengeluh selepas keluar dari dewan peperiksaan. “Aduhai. Susah sungguh soalan tadi. Latihan dah buat banyak kali, tapi asyik tak dapat nak jawab aje bila exam”. Jika dihimpun bertingkat-tingkat semua keluhan dan rintihan ini, mungkin bangunan setinggi KLCC pun boleh terhapus dari pandangan mata kita.

Persoalannya, mengapakah keluhan ini seringkali keluar dari mahasiswa islam sedangkan kita dilabel dalam Al-Quran sebagai umat yang terbaik? Status terbaik itu sendiri sepatutnya menggambarkan bahawa kitalah johan dan ‘leader’ dalam apa jua bidang yang diceburi. Anehnya, kenapakah perkara itu jarang berlaku dalam bidang akademik? Dalam mencari jawapan kepada persoalan keramat ini, rupa-rupanya persoalan ini telah pun terjawab beberapa ratus tahun yang lampau.

Imam Syafie bertanya kepada gurunya Imam Waqie, “Mengapakah saya tidak dapat memahami dan menghafal pelajaran pada hari ini?” Lalu jawab Imam Waqi “ Sesungguhnya Ilmu itu cahaya dan cahaya tidak akan masuk ke dalam jiwa yang kotor dengan maksiat”. Sedangkan Imam Syafie yang merupakan ulama mazhab yang hebat pun terganggu pembelajarannya hanya kerana terlihat secara tidak sengaja betis wanita, apatah lagi kita yang setiap hari mungkin bergelumang dengan dosa-dosa samada secara sengaja atau tidak.

Justeru, amatlah penting bagi kita untuk mengkoreksi diri agar Ilmu yang kita pelajari itu diberkati oleh Allah. Kadangkala kita alpa dan lalai hingga secara tidak sedar terjebak dengan maksiat samada seoarang diri ataupun beramai-ramai. Sudah tentu kita tidak mahu ilmu yang kita pelajari dengan susah payah hilang begitu sahaja kerana maksiat yang kita lakukan ini.


Secara khususnya di UTP, terdapat beberapa maksiat yang dilakukan secara kerap hinggakan seolah-olah telah menjadi kebiasaan atau “habit” di kalangan warga kampus. Antaranya ialah penganjuran “event” yang diselitkan unsur maksiat seperti tarian wanita, pencampuran penonton lelaki dan wanita yang tidak terkawal, pakaian “performer” yang tidak menutup aurat dan banyak lagi . Semua ini bukan sahaja menggelapkan hati kita, bahkan seolah-olah sengaja mengundang amarah Allah. Sedihnya, ada di kalangan kita tahu perkara ini salah dan maksiat tapi masih mahu melakukannya.

Justeru, marilah kita bersama duduk sejenak berfikir kearah mana halatuju hidup kita selepas ini. Mengapakah setelah terbentang di hadapan kita petunjuk dan hidayah, masih ada yang menolaknya? Mungkin ada yang merasakan walaupun dengan melakukan dosa dan maksiat dia masih mampu mencapai kejayaan dalam akademik. Namun,banggakah kita mencapai kejayaan tersebut sedangkan saham akhirat kita tipis dan mungkin kering kontang?

Di hadapan kita telah terbentang dua jalan, satu membawa ke syurga manakala satu lagi membawa ke neraka. Pilihan ada di hati kita. Buatlah pilihan yang terbaik. Hanya hati yang bersih dapat membimbing kita ke syurga dan ianya datang setelah kita menghindari perbuatan-perbuatan dosa.

Kami di Rakan Masjid sentiasa berharap agar kita mahasiswa Islam bukan sahaja mampu menjadi Hamba Allah yang diredhainya, bahkan mampu menggegar dunia akademik dengan kejayaan-kejayaan yang membanggakan. Mulakan langkah pertama kita untuk merangkul kejayaan itu dengan menghindari perbuatan maksiat. Marilah kita buktikan bahawa Umat Islam itu memang yang terbaik samada dari segi akhlak , muamalat dan juga akademik!!! Insya Allah.

Sabtu

9 Ogos 2008

1.00 tengahari

Mohd Hakim Bin Mohd Nor,

Presiden Rakan Masjid,

Universiti Teknologi PETRONAS.

019-5708755

mohdhakim@rakanmasjid.com

Friday, August 8, 2008

Kalam Presiden Rakan Masjid (1) Isu Hiburan

Bismillahirahmanirahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Bersyukur kita pada Allah SWT kerana telah memilih kita dari jutaan hambaNya untuk menerima hidayah Islam dan sinaran nur Iman. Di penghujung bulan Rejab ini, mungkin di kalangan kita sudah mula menghitung hari akan ketibaan bulan Ramadhan. Namun, sebelum Rejab melabuhkan tirai, adalah elok kiranya kita mengambil ibrah@pengajaran dari peristiwa Isra’ dan Mi’raj yang telah berlaku pada 27 Rejab tahun ke 10 kenabian.

Rasulullah s.a.w banyak memberikan peringatan kepada kita dengan menceritakan nasib umat yang melakukan dosa di dunia yang dilihat baginda semasa peristiwa Mi’raj. Ada yang memecahkan kepala berulang kali, ada yang berenang di lautan darah, ada yang menggunting lidahnya sendiri dan banyak lagi. Semua ini diceritakan sebagai satu inzar @ peringatan bahawa segala kerja buat kita didunia ini pasti akan dibalas.

Atas dasar itulah, kita harus menilai kembali setiap perkara yang kita lakukan di muka bumi ini dengan neraca Iman dan Islam. Kebelakangan ini, kita menyaksikan lambakan ‘event’ secara berleluasa di tanah UTP ini. Pelbagai persatuan dan kelab berusaha menghasilkan ‘event’ yang terbaik dengan bertujuan untuk mencungkil bakat mahasiswa di samping menjadi platform untuk mahasiswa aktif di bidang bukan akademik.

Di pihak Rakan Masjid, kami melihat perkembangan semasa ini merupakan satu budaya yang sihat untuk membuktikan mahasiswa UTP sudah mula merealisasikan misi UTP yang mahu melahirkan graduan yang ‘well rounded’. Namun, di pihak kami turut melahirkan kebimbangan terhadap penganjuran ‘event-event’ berbentuk hiburan yang muncul dalam skala yang makro sejak akhir-akhir ini. Sebagai contoh, semester ini sahaja kita akan disajikan dengan Kembara Sufi, Persembahan semasa Convo Fair dan yang terdekat Symphony Fest. Persoalannya, adakah semua ‘event’ hiburan ini bertepatan dengan kehendak Islam?

Kami di Rakan Masjid sama sekali tidak pernah menolak ‘event’ berbentuk hiburan ini selagi mana penganjurannya berlandaskan lunas-lunas Islam. Atas dasar itu, kami menyeru kepada seluruh mahasiswa UTP yang terlibat dalam menganjurkan waima menyertai ‘event-event’ hiburan ini menilai kembali status ‘halal’ ‘event’ tersebut.


Justeru, kami menyeru untuk kita sama-sama berpegang kepada ijtihad tokoh ulama antarabangsa yang terkemuka , Prof. Dr. Yusof Al-Qordowi dalam memastikan ‘event’ yang dianjurkan selari dengan kehendak Islam. Antara ‘checklist’ yang perlu dipatuhi ialah,

Penyanyi – hendaklah menutup aurat, bukan seorang wanita

Persembahan – terjaga dari segi akhlak & perbuatan, tiada penari wanita

Penonton – terpelihara daripada percampuran antara lelaki & perempuan yg bukan mahram, menjaga akhlak & perlakuan

Lagu/lirik – tidak menaikkan syahwat, tidak memuja manusia secara berlebihan

Sekali lagi kami menegaskan, di pihak Rakan Masjid kami sentiasa terbuka dan berlapang dada dalam penganjuran ‘event-event’ hiburan di UTP ini . Kami bukanlah golongan penghukum tetapi hanya sekadar ingin berkongsi apa yang kami tahu dengan kalian. Jelasnya, pihak kami juga tidak ketinggalan dalam menganjurkan ‘event’ hiburan seperti Kembara Sufi. Cumanya, apa yang ingin ditegaskan disini bahawa kami sama sekali tidak akan berkompromi dengan elemen-elemen mungkar yang wujud dalam mana-mana ‘event’ tersebut. Seandainya ‘checklist’ yang telah digariskan oleh Prof. Dr. Yusof Al-Qordowi tadi dipatuhi, tiada masalah di pihak kami untuk menyokong dan menghadiri mana-mana ‘event’ hiburan yang dianjurkan di UTP ini.

Sesungguhnya, risalah ringkas ini hanyalah satu resolusi untuk kita menjentik kembali rasa bertuhan dalam diri kita. Kita sudah semestinya sama sekali tidak mahu terhimpun dalam golongan yang menerima azab yang maha dahsyat seperti mana yang telah disaksikan oleh Rasulullah dalam peristiwa Isra’ dan Mi’raj. Sesungguhnya setiap kerja buat kita samada dalam menganjurkan ataupun menyertai ‘event’ di muka bumi UTP ini pasti akan dihitung oleh Allah. Bersamalah kita bermohon kepada Allah agar meletakkan kita dalam golongan yang mendapat rahmatNya dan bukan murkaNya.


Jumaat
1 Ogos 2008
8.30 pagi

Mohd Hakim Bin Mohd Nor
Presiden Rakan Masjid,
Universiti Teknologi PETRONAS.
019-570 8755
mohdhakim@rakanmasjid.com

Amanah Menyebarkan islam di bumi UTP

Bismillahirahmanirahim

Bersyukur kita kepada Allah SWT kerana dengan rahmatNya telah memilih kita dari berjuta manusia untuk menerima kemanisan Nur iman dan sinar islam. Salam junjungan keatas Rasulullah SAW atas usaha yang tidak berkesudahan baginda dalam menyebarluaskan islam kepada manusia sejagat.

Datangnya diri kita sebgai pelajar di bumi UTP ini, tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk menyampaikan hajat ayahanda dan bonda kita untuk melihat anak-anaknya menggengam segulung kejayaan. Azam yang tersemat dibajai dengan tekad dan nekad meletakkan fikiran separa sedar kita untuk menuju ke matlamat tersebut tanpa mengambil cakna akan persekitaran UTP yang kian berkecamuk.

Justeru, bergelimpanganlah mahasiswa dan mahasiswi yang hanya mampu meletakkan kriteria 'well rounded' dalam konteks kejayaan materialisma dan fiskal semata. Pembangunan rohani lantas dikesampingkan dengan alasan 'tak amik port'.

Dan kehidupan dunia ini, hanyalah permainan dan senda gurau. Sedangkan negeri akhirat itu, sungguh lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Tidakkah kamu mahu berfikir? [Al-An'am:31]

Ayat Al-Quran diatas adalah peringatan jelas dari Sang Pencipta kepada makhluk-makhluk yang diciptaNya. Tidakkah kita percaya akan ayat tersebut??. Justeru itu, sudah sampai masanya untuk kita memikirkan bagaimana survival kita apabila berada di alam akhirat tersebut.

Lantas sahabat-sahabat, marilah kita bersama berusaha mengislahkan diri dan meletakkan taqwa dan iman sebagai asas kepada kerja harian kita. Jika kita mampu berhempas - pulas berusaha mencapai kejayaan akademik, kita juga mampu untuk melakukan perkara yang sama untuk mendapat kejayaan di akhirat kelak. Wallahualam

Ahmad Farhan Bin Jopri
Setiausaha 1 Rakan Masjid
Universiti Teknologi PETRONAS.
019-9167880
ahmadfarhan@rakanmasjid.com