Friday, September 26, 2008

Kisah si anak ikan

Ceritanya mengisahkan seekor anak ikan dan ibunya yang sedang berenang-renang di lautan dalam. Ibu ikan sedang mengajar anak kesayangannya akan erti kehidupan dan realiti yang mereka hadapi.nak ikan ini bertanya,

"Apa banyakkah perkara yang anakanda tidak ketahui wahai ibu?".

Ibu ikan ini pun berkata, "Duhai anakku yang ku kasihi, sesungguhnya terdapat suatu perkara yang amat penting yang ibu ingin sampaikan...ajaran ini telah disampaikan oleh pendita-pendita ikan yang terulung sejak zaman berzaman, telah disebarkan kepada seluruh warga alam air ini dan ibu harap anakanda juga ambil berat apa yang ingin ibu katakan....Suatu hari nanti, anakanda akan diuji dengan godaan-godaan yang mengelirukan akal... akan anakanda jumpa cacing yang sungguh enak sedang dicucuk oleh mata kail dan diikat pada tali yang tidak nampak oleh mata kasar. Cacing itu kelihatan sungguh mengiurkan, sungguh lazat sehinggakan anakanda tidak terfikir akan apapun kecuali untuk menikmati juadah yang enak itu... tetapi anakanda kena ingat itu hanyalah muslihat manusia, mengumpan anakanda ke alam lain yang penuh sengsara."

"Alam apa itu ibu?"

"Jika anakanda terjerumus ke perangkap manusia itu.. leher anakanda akan disentap oleh besi yang bercangkuk tajam dan akananda akan merasa kesakitan di mulut anakanda. Kemudian, mereka akan tarik anakanda ke arah sesuatu yang menyilau pandangan sehingga anakanda rasa anakanda akan buta... anakanda akan di campak umpama sampah di perut perahu mereka dan anakanda akan berasa sesak kerana anakanda bukan lagi dikelilingi oleh air tetapi udara...Kemudian mereka akan membawa anakanda ke pasar, mereka letakkan harga..ada manusia yang datang dan mencocok-cocok badan anakanda sebelum ada yang membawa anakanda ke rumah mereka. Siksaan mereka belum selesai...manusia itu akan mengelar- ngelar anakanda, menghiris daging dan meletakkan garam dan .. pedihnya ibu tak dapat bayangkan dan ceritakan..", sambil si ibu tunduk sayu dan ketakutan.


"Setelah dikelar-kelar... anakanda akan melihat minyak yang panas mengelegak, sehingga percikannya bisa meleburkan kulit anakanda yang halus itu... manusia kemudiannya akan menurunkan anakanda ke dalam minyak yang panas itu sehingga segala daging dan kulit anakanda melecur dan bertukar warna... Akhirnya.. anakanda akan dilapah, dimamah dan dikunyah oleh gigi-gigi manusia yang tidak mengenal erti belas kasihan itu... Semua siksaan itu berpunca dari godaan yang sedikit... ibu berpesan agar anakanda ingat dan berhati-hati di laut lepas tu..."

Si anak..hanya mengangguk-anggukkan kepalanya... dalam hatinya masih tidak yakin..kerana belum pernah ketemu cacing yang sebegitu..

.Suatu hari.. setelah di anak ini remaja..dan bersiar-siar dengan kawan-kawannya.. mereka terlihat seekor cacing yang amat besar, tampak lazat berseri-seri... semua ikan-kan itu telah mendengar cerita dari orang tua masing-masing.. cuma baru sekarang melihatnya dengan mata kasar sendiri.. masing- masing menolak satu sama lain.. dan mencabar-cabar agar pergi menjamah juadah itu.. akhirnya si anak yang tidak yakin dengan cerita ibunya tadi berkata,

" Ahhhh...masakan benar kata-kata ibuku.... makanan selazat ini tidak akan mendatangkan apa-apa kecuali kenyang perutku. Ini habuanku....", terlintas nafsu yang datang menggoda... lalu.. setelah si anak itu mengangakan mulutnya luas-luas dan dengan rakusnya membaham cacing itu... mulut dan tekaknya terasa kesakitan yang amat sangat...setelah puas cuba melepaskan diri.. si anak tadi berasa kesal dan sedih dalam dirinya.. kerana dia tahu...apa yang ibu katakan memang benar...cuma segalanya sudah terlambat..hanya kerana nafsu.

|Ahmad Farhan Bin Jopri|

|Civil Engineering|

|Final Year 1st Sem|

|Setiausaha 1 Rakan Masjid|

Thursday, September 25, 2008

Kad Raya

1. Apabila raya menjelma, bermakna Ramadhan sudah tiada.

2. Semoga Amal Ibadat terus meningkat walaupun sudah tiada Ramadhan nanti.

3. Di kesempatan ini, ana ingin mewakili saf kepimpinan MTME Rakan Masjid UTP memohon maaf atas segala silap dan salah yang kami lakukan. Semoga syawal yang bakal menjelma nanti mengeratkan lagi ukhuwwah di antara kita semua.

4. Disertakan sekali dalam post kali ini, kad raya untuk muslimin dan juga muslimat. Maaflah tak berapa cantik. Tapi, semoga antum semua yang membaca blog ini terus menerus memperoleh manfaat dari penulisan kami yang tak seberapa ini.

5. Selamat menyambut hari raya.

p/s: Ramadhan masih berbaki 5 hari lagi, janganlah disia-siakan ye... (^_^)v

Mohd Hakim bin Mohd Nor
Presiden Rakan Masjid
Universiti Teknologi PETRONAS
25 Ramadhan 1429H
3.30 petang

Kad Raya untuk muslimat


Kad Raya untuk muslimin


Tuesday, September 23, 2008

Kahwin ni untuk apa?




1. “Ana nak kahwin le abang Hakim” lembut suaranya mengadu. Kelihatan anak matanya berkaca-kaca. Terserlah kejujuran dan kesungguhannya. Petang Ahad itu ana datang ke bilik rehat v3a. Mesyuarat projek sepatutnya dilakukan di situ. Namun kelibat ahli kumpulan masih tidak kelihatan. Kesempatan itu ana gunakan untuk berbual-bual dengan seorang adik yang kebetulan juga merupakan AJK Rakan Masjid.


2. “Boleh ke bang? Ana tak nak terus bergelumang dalam dosa lagi. Siapa nak terus menerus buat dosa kan?” adik itu meneruskan bicara. Keseriusan adik itu menarik minat ana. Sejujurnya petang itu ana sedang mentelaah buku antara Qiyadi dan Jundi karangan Mustafa Masyur. Usrah MTME Rakan Masjid nanti akan mengupas persoalan yang dibentangkan di dalam buku ini. Dengan perlahan, ana menutup buku di tangan.


3. “Dah ada calon ke?” ana menyoal. Suasana sepi seketika. Perlahan-lahan, adik itu menjawab dengan muka yang tersipu-sipu malu, “Dah ada.” Ringkas sahaja jawapannya. Ana terus meneka, “Budak UTP jugak kan?” Dia mengangguk-angguk kepalanya. Oh, patutlah nak kahwin sangat, kes selalu berjumpa le ni… ana menduga dalam hati.


4. Belum sempat ana meneruskan bicara, tiba-tiba masuk seorang muslimat ke bilik rehat v3a itu. Ana kaget. Eh, ini kan blok muslimin. Gusar ana dalam hati. Kehairanan ana hilang apabila adik itu mula bersuara. “Bang, perkenalkan, inilah calon hati ana. Namanya *****”. Adik itu memperkenalkan muslimat itu. Rupa-rupanya mereka berdua sudah berpakat untuk study sekali. Padanlah dari tadi ana hairan melihat adik ini menggunakan dua laptop. Rupa-rupanya ada perkara lain. Ana menguntum senyuman. Macam-macam.


5. “Dik, apa matlamat adik nak kahwin sebenarnya?” Dah jadi macam sesi kaunseling baitul muslim pula rasanya. Adik muslimat itu kelihatan kaget juga pada awalnya apabila mendengar topik perbualan kami. Ana meneruskan perbualan, “Memang antuma cadang nak kahwin masa belajar ke?”


6. Kedua-dua adik itu saling berpandangan. Bagai mencari jawapan. Akhirnya adik muslimin itu menjawab. Ada nada keyakinan pada suaranya, “Ana nak kahwin sebab nak jaga dia. Pastu sebab kami dah tak tahan lagi terus menerus begini. Daripada terus buat maksiat, baik halalkan aje perhubungan ini dengan jalan nikah. Tentang kahwin masa belajar itu, kami masih tak buat keputusan lagi.”


7. Ana diam. Menganalisis jawapan. Seakan benar jawapan adik itu. Daripada bercouple, lebih baik kahwin. Nampak matlamatnya tepat. Tapi sayang, matlamatnya kurang jelas. Seperti bermain bola sepak. Bila masuk ke padang matlamat satu pasukan itu mesti hendak menang. Tapi jika penjaga gol sendiri berlari ke arah gol lawan untuk menjaringkan gol, itu sudah dikatakan tidak jelas matlamat. Matlamat tepat, tapi tak jelas.


8. Ana mengumpul kekuatan. Memikirkan ayat paling lembut dan lunak untuk didengari. Umpama menarik rambut dalam tepung. Rambut harus tidak putus, tepung tidak berterabur. Dengan senyuman mengukir di bibir, ana menjawab. “Maksud adik, matlamat adik nak kahwin ini sebab nak salurkan nafsu ke tempat yang betul le kan?” Adik itu mengganguk. “Kalau macam itu, cuba bayangkan, bila satu hari nanti adik berdua dah kahwin dan tiba-tiba terpaksa berjauhan kerana urusan kerja, isteri adik cuti haid, bersalin dan sebagainya, adakah matlamat perkahwinan itu masih boleh dipakai lagi? ”


9. Adik itu diam. Seolah-olah kalam yang ana ungkapkan tadi baru pertama kali didengarinya. Ana faham situasinya. Kebanyakan artikel, ruang soal jawab agama dan kuliah banyak menyarankan kahwin sebagai alternatif kepada couple. Ana tidak menyalahkan saranan itu. Tapi, apabila tidak dikaji dengan baik, akhirnya matlamat kahwin itu menjadi tidak jelas.


10. “Habis tu bang, kahwin nie sebab ape?” Adik itu menyuarakan kekusutannya. Ana tersenyum. Bersoal jawab itu lebih baik daripada terus menerus berleter memberi tazkirah. Ana memang suka perbincangan begini. Bahkan, bila ana memberi kuliah atau ceramah di mana-mana surau, masjid atau dewan kuliah, pasti ana praktikkan kaedah soal jawab. Sememangnya manusia itu dilahirkan dengan sifat suka berinteraksi.


11. “Kahwin bukan matlamat. Ianya hanya satu alat.” Ringkas jawapan ana. Adik itu terlopong. “Haa.?? Alat? Alat puaskan nafsu ke? “ Ana tergelak kecil mendengar respon spontan adik itu. Huhu. “Ya. Kahwin memang alat. Tapi bukan alat untuk puaskan nafsu, tapi sebagai alat untuk mencapai matlamat.” Kelihatan dahi adik berkeriut. Takpe, teruskan berfikir adikku.


12. “Ana sendiri nak kahwin. Tapi matlamat ana untuk kahwin adalah untuk mendirikan semula khilafah yang telah hilang. Menjadi kewajipan setiap muslim mendirikan semula khilafah islam ini. Jadi, untuk mencapai khilafah, kena ada daulah, untuk ada daulah, kena ada masyarakat islam, untuk ada masyarakat islam, nak tak nak kena ada keluarga muslim @ baitul muslim. Dari situ datang kepentingan untuk berkahwin.” Panjang lebar ana menerangkan.


13. Adik itu mengangguk-angguk kepalanya. Seakan ada sedikit percikan kefahaman di riak wajahnya. “Kalau berkahwin semata-mata hanya kerana tidak mampu menahan nafsu, nescaya dari awal lagi mahligai perkahwinan itu dalam keadaan yang bahaya. Ini kerana nafsu tetap akan ada walaupun selepas kahwin. Sebab itu ada kes suami dan isteri yang curang.”


14. “Amatlah lemah bagi seoarang lelaki yang hanya memikirkan perkahwinan sebagai jawapan untuk memuaskan nafsu syahwat. Walaupun nikmat hubungan suami isteri dapat dirasai dengan jalan perkahwinan, namun ianya hanya sebagai satu bonus dan bukannya sebagai tujuan utama.”


15. “Cuba bayangkan di waktu usia sudah tua, isteri sudah kehilangan segar diwajahnya, kekedutan menggantikan ketegangan kulit, di waktu itu adakah nikmat perkahwinan akan terus dirasai seandainya matlamat perkahwinan dari awal lagi sudah tersasar?


16. Kelihatan adik itu merenung jauh. Mungkin dia membayangkan masa depannya. Ana melepaskan nafas lega. Fuuh. Adik itu kembali bersuara. “Terima kasih bang sebab membuka persepsi ana berkaitan dengan perkahwinan ini. Alhamdulillah. Jadi, boleh tak sebenarnya kami berkahwin sekarang andaikata matlamat perkahwinan itu kami dah perbetulkan semula?”


17. Ana tersenyum. Haih.. orang muda. Memang bersemangat. Ana menjawab, “Boleh, tapi dengan beberapa syarat…”


18. Muka adik itu bertambah cerah. “Apa syaratnya bang?” Ana kembali tersenyum melihat keseriusan mereka berdua menanti jawapan dari ana.


19. Insya allah jawapannya akan dikeluarkan dalam tulisan yang akan datang. Bersamalah kita nantikan… (^_^)


p/s: tulisan ini bertujuan untuk memperbetulkan matlamat untuk berkahwin. Insya Allah, kalam yang akan datang akan menyentuh persediaan yang perlu ada untuk berkahwin.

Mohd Hakim

Presiden Rakan Masjid UTP

SebelumTengah Malam

22 September 2008

Saturday, September 13, 2008

Lailatul Qadar : perlu atau tidak?


[“ Kisah yang berlaku setahun yang lalu semasa di bulan Ramadhan. Semoga ada manfaatnya dari kisah ini. -penulis“ ]



“Kenapa muram aje ni dik? Sakit ke?” ana menyapa seorang adik junior yang sedang duduk di laluan ke blok kediaman. Pagi ahad memang masa yang seronok di UTP ini. Tak ada kelas. Terlepas dari beban untuk bergegas ke dewan kuliah di pagi hari. Pagi itu suasana cukup nyaman. Matahari seakan-akan malu untuk timbul. Kicauan burung memeriahkan lagi suasana. Namun, keceriaan pagi itu seolah-olah tidak dikongsi bersama dengan adik itu. Mukanya sugul. Muram. Nampak jelas rasa kesal yang mendalam di raut wajahnya yang bersih itu.

“Abang Hakim, rugi sangat rasanya. Rasa menyesal sangat.” Adik itu mula meluahkan perasaannya. Ana diam. Memasang telinga. “Malam semalam tertidur awal, lepas isya’ terus tertidur. Tak sempat Tarawih. Subuh pun terlajak. Qiamulaill jauh sekali. Ni mungkin sebab makan banyak masa berbuka . Haih, ruginya. Dah le semalam dah mula sepuluh malam terakhir Ramadhan. Kawan-kawan kata, malam semalam lailatul qadar sebab pagi ni matahari macam tak terang sangat” Satu persatu luahan hatinya dikongsi.

Ana tersenyum. Dalam hati ana berbisik” Masya Allah, bagusnya adik ini. Semangatnya untuk beribadah amat tinggi. Tapi, macam ada yang tak kena.” Ana memegang bahunya. Berdasarkan pengalaman, sentuhan boleh merapatkan lagi perasaan kasih sayang antara daie dan mad’u. “Dik, agak-agak, betul ke lailatul qadar tue semalam?”

“Ana rasa betul le bang. Tengok pagi ni. Syahdu semacam aje” Adik itu terus memperlihatkan kesedihannya. Nampaknya adik ini begitu terkesan dengan pendapat temannya itu. Tapi ana hairan dengan adik ini. Keinginan untuk bertemu Lailatul Qadar amat tinggi namun jarang kelihatan di masjid. Lalu ana bertanya kepadanya kembali, “ Abang Hakim minta maaf kalau pertanyaan abang ini mengguris hati adik, tapi kalau tak silap abang, sepanjang bulan ramadhan ni, jarang abang nampak adik di masjid. Kenapa ye?”

Adik itu tersipu-sipu malu sambil tersenyum simpul. Sambil tersengih, dia menjawab, “ Ana bukan apa bang, 20 malam pertama ni lailatul qadar tak ada, jadi memang sengaja ana fokus pada 10 malam terakhir aje. Nanti bila bertemu lailatul qadar, kan ke ganjarannya seperti beribadah 1000 bulan. So, boleh lah ‘cover’ semula 20 malam yang awal tu” petah adik itu berbicara memberi hujah.

Sah. Adik ni dah terkena sindrom MUSLAITUQ. Muslim Lailatul Qadar. Antara simtomnya ialah mereka yang hanya mula beramal pada 10 malam terakhir sahaja. Perlahan ana mengusap bahu adik itu. Sambil tersenyum, ana membalas hujahnya, “Ok, katakanlah malam semalam memang lailatul qadar dan peluang untuk beribadat dah terlepas ,jadi selepas ini dah tak perlulah kita memperbanyakkan ibadat lagi sebab dah tak ada lailatul qadar. Betul ke gitu?” Adik itu diam. Dia mula memikirkan logiknya.

Ana terus menyambung hujah. Kalaulah selama ini kita beramal kerana lailatul qadar, sesungguhnya lailatul qadar itu hanya satu malam sahaja dalam setahun. Kalaulah kita beramal kerana Ramadhan, sesungguhnya Ramadhan itu hanya sebulan sahaja dalam setahun. Lalu, adakah kita akan biarkan hari dan bulan yang lain berlalu kosong sahaja tanpa diisi dengan amal ibadat kepadaNya lantaran tiadanya ganjaran yang sehebat Ramadhan?

Oleh itu, beramallah kerana mencari redha Allah. Kejarlah keredhaanNya dan bukan ganjarannya semata. Ganjaran yang dijanjikan hanyalah sekadar penguat semangat untuk beribadat kepadanya. Jis utamanya ialah keredhaan Allah itu sendiri.

Ana menarik nafas perlahan. Tiba-tiba hati ini rasa hiba dan sayu. Hiba kerana melihatkan fanomena umat Islam masa kini. Ramai yang tersasar membidik matlamat. Terasa air mata bergenang kecil.

“Kenapa abang hakim tiba-tiba sedih ni?” adik itu hairan dengan perubahan nada suara ana.

Rasa hiba itu ana kongsi bersama dengannya. “Ramai yang kejar kulit dan bukan isinya.” Ana berkias. Seakan faham dengan kiasan itu, adik itu bertanya, “Maknanya, tak bolehlah kita beramal untuk mendapat ganjaran dan kelebihan yang ada?”

Ana tersenyum. Soal jawab memang kaedah yang terbaik untuk membina kefahaman. “Dik, sebenarnya tidak salah untuk terpesona dengan tawaran ganjaran yang berlipat ganda di bulan Ramadhan dan menjadi ghairah memburu lailatul qadar, namun mengapa di hari dan bulan lain amal ibadat ini terus merudum mendadak. Bukankah matlamat madrasah Ramadhan itu untuk melahirkan insan yang bertaqwa. Lailatul Qadar hanyalah sebagai “booster” untuk mempertingkatkan amalan. Apalah gunanya hebat beribadat di bulan Ramadhan namun menjadi tin kosong tidak berisi apabila keluar dari Ramadhan.

Sebagai contoh, sebelum tiba Ramadhan, jemaah yang solat maghrib di Masjid An-Nur ini paling ramai dalam 5 saf. Namun di bulan Ramadhan bilangan itu tiba-tiba bertambah mendadak hingga mencecah 15 saf. Anehnya, selepas Ramadhan berlalu, angka itu merosot semula kepada 5 saf dan kadangkala kurang daripada itu. Aneh. Sangat aneh. Adakah kita cuba untuk berlakon di hadapan Allah? Adakah Allah tidak tahu semua ini?” Ana kembali diam. Menyusun kalam. Adik itu terus menunggu buah bicara yang seterusnya.

“Dik, sebenarnya, begitulah juga dengan Lailatul Qadar ini. Kenapa hanya menanti 10 malam terakhir sahaja baru ibadat nak ditingkatkan? Sedangkan Lailatul Qadar itu boleh berlaku pada bila-bila masa sepanjang Ramadhan. Lailatul Qadar adalah hadiah Allah kepada orang-orang yang tekun berusaha mencarinya. Tingkatkanlah amal Ibadat sepanjang masa. Ibadat ini seharusnya tidak bermusim.Mudah-mudahan, dengam amal ibadat yang tekun dan konsisten akan mempertemukan kita dengan Lailatul Qadar. Kalau tidak bertemu pun tidak mengapa, asalkan kita mendapat Redha Allah sudah mencukupi.”

“Jadi abang, sebenarnya ada lagi tak peluang ana untuk bertemu lailatul Qadar ni?” kedengaran suara penuh harapan dari pertanyaan ini.

Jawab ana ringkas. “Insya Allah ada. Namun… harus diingat, yang dicari bukanlah Lailatul Qadar, tapi redha Allah. Faham kan?”

“Alhamdulillah. Faham bang. Lebih kurang gini le kan abang Hakim: “Tiada gunanya bertemu lailatul qadar namun tidak mendapat Redha Allah. Betul kan bang?”

Ana menganguk perlahan dan tersenyum. Alhamdulillah. Semoga Allah menerima amal kita di bulan Ramadhan ini. “Ya Allah, semoga Engkau Redho dengan kami dan pertemukanlah kami dengan Lailatul Qadar.Amin Ya Rabbal Alamin.”

Ahad

14 Ramadhan 1429H

11.30 pagi.

Mohd Hakim Bin Mohd Nor

Presiden Rakan Masjid

Universiti Teknologi PETRONAS

Monday, September 1, 2008

Selamat Menyambut Ramadhan Al Mubarak




1. Kami di saf Kepimpinan Rakan Masjid Universiti Teknlogi PETRONAS mengucapkan selamat menghadapi bulan Ramadhan kepada semua muslimin dan muslimat terutamanya kepada warga UTP.

2. Kami begitu mengharapkan dengan kehadiran Ramadhan ini dapat meningkatkan lagi ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t.

3. Jangan biarkan Ramadhan berlalu begitu sahaja. Rebutlah segala ganjaran, tawaran dan peluang yang terbentang luas dalam bulan mulia ini.

4. Dapatkanlah keampunan Allah, keredhoaannya dan mintalah dijauhkan daripada api neraka.

5. Kepada mahasiswa muslim, gunakanlah peluang ini untuk meningkatkan munajat memohon Allah permudahkan segala urusan akademik kita. Elakkan melakukan perbuatan maksiat. Sesungguhnya maksiat itu hanya menggelapkan hati dan membenakkan minda.

6. Semoga kita semua berjaya mengharungi tarbiyyah Ramadhan ini.

Mohd Hakim Bin Mohd Nor
Presiden Rakan Masjid
Universiti Teknologi PETRONAS

1 Ramadhan
3.30 petang

Sunday, August 31, 2008

MAJLIS PERASMIAN 'RAMADHAN DISCOVERY'

Pada hari Selasa bersamaan dengan 26 Ogos 2008 yang lepas, Rakan Masjid UTP telah menganjurkan Majlis Perasmian 'Ramadhan Discovery' bertempat di Dewan Serbaguna UTP. Acara bermula pada jam 9.40 malam dan dihadiri oleh para pelajar UTP tidak kira pelajar tempatan ataupun luar negara. Majlis ini telah dirasmikan oleh Dr Fakhruldin, salah seorang pensyarah yang tidak kurang asing di kalangan pelajar UTP.

Majlis dihiburkan lagi dengan persembahan daripada Tronoh Teater Shop ( TTS ) yang membawa sketsa berkisar mengenai erti puasa itu sendiri. kelihatan para penonton amat terhibur dengan persembahan yang dilakukan. Majlis kali ini menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi.

Majlis Perasmian ini berakhir pada ham 10.45 malam. walaupun keadaan di luar dewan hujan, ianya tidak langsung mematahkan semangat para pelajar UTP untuk datang demi memeriahkan majlis perasmian ini. Ucapan syabas dan tahniah diucapkan kepada pengarah program ini, beserta anak-anak buahnya.

Ramadhan Discovery merupakan satu nafas baru yang diberikan terhadap Minggu Penghayatan Ramadhan. Sebelum ini, ianya dikenali sebagai Minggu Penghayatan Ramadhan ( MPR ) yang mana pelbagai aktiviti yang telah dijalankan semata-mata untuk menyedarkan orang ramai mengenai kehadiran bulan Ramadhan itu sendiri serta penghayatan sepanjang bulan ini berjalan. Nafas baru ini diberikan juga bersempena dengan sambutan 5 tahun MPR itu sendiri.

Kali ini, pelbagai aktiviti menarik yang bakal dijalankan. Antara nya:
1. Ramadhan Food Fiesta
2. Treasure of Iman
3. Khidmat Bakti Siswa
4. Warkah Aidilfitri
5. Iftar
6. The Qurra

Oleh itu, sama-samalah kita memeriahkan aktiviti-akitiviti ini demi menghidupkan bulan Ramadhan yang datang sekali setahun ini. Moga kita semua mendapat rahmat daripada Allah s.w.t.

Selamat menjalani ibadah puasa~ (^^)

Muhammad Za'im bin Kamarrulzaman
Timbalan Presiden Rakan Masjid UTP
5.36 petang
31 Ogos 2008

Saturday, August 30, 2008

Simposium Nuqaba Rakan Masjid


1. “ Abang Hakim, usrah tu wajib ke? “ satu soalan keluar dari peserta muslimat Simposium Nuqaba’ anjuran Rakan Masjid. Kelihatan muka peserta yang lain menanti dengan penuh tanda tanya.



2. “ Usrah itu wajib dan tak wajib”. Jawab ana dengan tenang dan yakin. “Aik, macam mana pula tu?” Soal pula peserta muslimat yang lain. Ana sudah duga persoalan itu akan keluar. Mulut mengukir senyum. Bagus, stratergi untuk memancing minat mereka bertanya dah mengena.

3. “Begini, usrah itu wajib kepada orang yang menjadi ahli da’wah dan tidak wajib kepada yang bukan ahli da’wah.” Permulaan jawapan yang sengaja dibiarkan berselirat. Ya. Umpan mengena lagi, kali ini dari adik muslimin. “Erm.. macam mana tu abang hakim, bukan ke setiap orang yang mengatakan lailaha illa allah itu seorang daie”. Jelas kelihatan dan keserabutan di muka setiap peserta.

4. Slot tengahari memang sukar untuk dipenuhi. Mata mudah mengantuk. Badan cepat letih. Sebab itu ana mengambil pendekatan provokasi dalam menyempurnakan slot ketika cinta bertasbih tengahari ini. Slot yang menjemput naqib yang pernah mengendalikan smart group dengan jayanya satu ketika dahulu. Entah kenapa, komiti gatal menjemput ana dan ana pula terlepas cakap memberi persetujuan. Sedangkan, ana bukanlah yang terbaik. Namun, kerana Allah demi Islam, ana galas juga amanah ini.

5. Ana menjawab, “Sebenarnya, kewajiban menyertai usrah ini jatuh kepada ahli da’wah iaitu orang yang telah berintima’ @ menyertai jemaah islam secara langsung. Sebagai analogi, hanya orang yang mendaftar di university sahaja yang wajib masuk ke lecture. Masyarakat yang tidak mendaftar di universiti tidak wajib untuk masuk ke lecture walaupun umur mereka sebaya.”

6. Justeru, dengan persetujuan menyertai jemaah islam bererti kita telah bersetuju menurut segala perancangan yang disusun oleh jemaah. Perkara pokok sebuah jemaah ialah tarbiyyahnya dan tunjang tarbiyyah ialah usrah.

7. Menyertai usrah adalah wajib kepada ahli jemaah kerana disitu tempat percambahan fikrah jemaah berlaku. “Abang Hakim, maknanya usrah tue tempat kita menuntut ilmu ye?” seorang peserta mengajukan soalan. Ana tersenyum. Bagus, mereka semua bersemangat dan tidak tidur.

8. “Usrah bukanlah tempat menuntut ilmu!” Beberapa orang peserta kelihatan tercengang dan terkebil-kebil mata. Ana menyambung lagi, “Usrah juga bukanlah tempat untuk berukhuwwah” Kelihatan kerut di beberapa muka peserta. Sengaja ana biarkan mereka terus berfikir.

9. Sebenarnya usrah adalah tempat untuk kita berbincang, bukan untuk menadah kitab. Usrah bukanlah tempat untuk berukhuwwah, tapi tempat untuk membina ukhuwwah. Outcome dari usrah barulah kita katakan mendapat ilmu dan ukhuwwah.

10. Sebagai analogi, di kilang kereta, orang tak naik kereta. Di situ tempat buat kereta. Dari besi yang besar, keras serta tidak berwarna, ia diketuk, dipanaskan , di pandu uji , dibentuk acuan dan kemudian dicat. Besi itu dipasangkan pula dengan stering, tayar , cermin dan pelbagai lagi. Setelah proses ‘tarbiyah’ itu berlaku, barulah sebuah kereta yang canggih dan lawa di pasarkan. Berebut-rebutlah kita memuji kemantapan kereta itu. Itu jika proses pembuatannya teliti, kalau cincai…. Bersiap sedialah dengan komen dan kutukan pengguna.

11. Begitulah dengan usrah, segala proses pembentukan itu berlaku dalam usrah. Dari seorang yang tidak dikenali kepada orang yang terkenal. Hasilnya hanya dapat dilihat di luar usrah. Sebab itu dahulu pernah dipopularkan satu istilah, “Usrah yang sebenar bermula dengan tasbih kafarah dan berakhir dengan al fatihah.”

12. Muka peserta sudah mula cerah. Awan redup keliru mula berarak pergi. Kini perlu menghuraikan jawapan tidak wajib usrah pula. Peserta semakin tekun dan fokus. Perasaan ingin tahu mereka dicabar. Bagaimana satu soalan boleh ada dua jawapan yang bertentangan?

13. Tidak wajib menyertai usrah kerana dia bukan ahli da’wah. Menurut al Fadhil Ustaz Fathi Yakan, mad’u boleh diklasifikasikan kepada 2 golongan. Golongan istifadiah dan golongan jamhariah.

14. Golongan istifadiah ialah golongan ekslusif. Mereka sudah ada kesedaran islam. Bahkan mereka sudah mula dan mahu menyebarkan islam. Bagi golongan ini, mereka wajib berusrah kerana mereka merupakan golongan yang sudah berintima dengan jemaah. Mereka inilah yang kita gelarkan sebagai ahli da’wah.

15. Golongan jamhariah ialah golongan orang awam. Mereka baru nak berjinak-jinak dengan Islam. Kalau di UTP, mereka ialah adik-adik smart group. Mereka belum lagi menjadi ahli da’wah. Pendekatan kena berbeza dengan orang yang berlatar belakang pendidikan Islam. Kena banyakkan program sampingan seperti ziarah, riadah, makan bersama, rehlah dan apa sahaja yang boleh menarik minat.

16. Rumusan sudah dibuat. Peserta mengangguk-angguk tanda faham. Selepas habis slot tengahari itu, ana pasang satu video klip gambar usrah yang ana kendalikan. Ada yang kehairanan. Tiada pun ‘sut usrah’ yang kami pakai ketika usrah?

17. Ya, memang tiada set jubah dan serban dalam usrah kami. Wahai adikku sayang, tiada siapa kata usrah hanya boleh dijalankan di masjid semata bukan? Ingatlah , usrah bukanlah tempat untuk menuntut ilmu, tapi tempat untuk membina kefahaman. Selamat berusrah adik-adikku. (^^)/

Friday, August 29, 2008

Mem'puasa'kan kemerdekaan

1. Selalu orang menggunakan perkataan kita merayakan kemerdekaan. Namun, bukankah raya itu datang sesudah berpuasa?

2. Tidak wajar rasanya kita beraya seandainya tiada secubit kepenatan dan keletihan dibuat sebelum itu. Wajarkah kita menyambut kemerdekaan kita andainya kita tidak merasai dan berkongsi keperitan dan sengsara untuk mendapatkannya?

3. Marilah kita selongkar kitab sejarah pejuang kemerdekaan untuk menghayati kisah perjuangan mereka. Mereka sudah berkorban banyak perkara untuk mendapatkan kemerdekaan ini. Kita halau keluar penjajah jepun dan british. Bukan sedikit darah yang tumpah. Bukan sedikit air mata yang mengalir.

4. Ya.. kita perlu hargai mereka.Kita perlu rasa syukur atas kemerdekaan ini.

5. Lalu,Sambutan kemerdekaan dibuat di seluruh pelusuk negara. Saban tahun,sambutan semakin gempak dan gah. Persembahan bunga api sudah pasti mengisi ruang angkasa malam nanti. Hebat. Memang gempak. Sambutan kita memang 'world class'.

6. Namun, apalah ertinya semua itu sekiranya banyak lagi perkara yang kita terlepas pandang. Lihatlah sahaja peristiwa-peristiwa hitam di sekeliling kita.



7. Oleh itu, sudah tiba masanya untuk kita mem'puasa'kan kemerdekaan ini. Puasa dalam konteks menghentikan kegiatan yang tidak bermoral dan tidak beretika.

8. Hentikan keseronokan mengimport budaya penjajah. Jangan memperlekeh dan menghina usaha datuk moyang kita dahulu. Dulu mereka berusaha keras menghalau penjajah, kini kita pula terhegeh-hegeh menjemput mereka menjajah kita. Ya, Menjajah minda kita.

9. Natijahnya... (izinkan untuk bergurindam)

Maksiat naik bertingkat-tingkat. Tidak dipeduli lagi adat dan syariat. Lelaki dan perempuan duduk makin rapat. Bila dah rapat mula peluk erat-erat. Hilang sudah Allah dan malaikat. Lalu perut kempis menjadi bulat. Mulalah nafas tenang jadi tenat. Timbul pula fikiran sesat. Anak yang dilahirkan dibuang cepat-cepat. Macamana hidup nak berkat? Kalau maksiat dah jadi adat. Moga sempat untuk bertaubat.

10. Oleh itu, marilah kita mem'puasa'kan kemerdekaan. Bukankah puasa itu bertujuan untuk melahirkan umat yang bertaqwa. Kebetulan pula tahun ini selang sehari dari tarikh merdeka umat Islam akan menyambut 1 Ramadhan iaitu pada 1 Semptember 2008.

11. Semoga kita melihat kemerdekaan dengan konteks yang lebih luas lagi. Rakan Masjid UTP sama sekali tidak akan redho melihat kemerdekaan ini dicalit dengan kemungkaran seperti tarian artis2 wanita waima berdua-duaan dengan pasangan bukan muhrim anda.

12. Semoga kita terus mencari berkat dan redho Ilahi dalam setiap kerja buat kita. Amin

Mohd Hakim bin Mohd Nor
Presiden Rakan Masjid UTP
7.30 pagi
30 Ogos 2008

Monday, August 11, 2008

Lawatan ke kampung orang asli

Pada hari Ahad lepas, 10 Ogos 2008. Satu lawatan kerja dibuat oleh Unit Pentadbiran Masjid dan Rakan Masjid Universiti Teknologi PETRONAS. Lawatan ini disertai oleh
1) Ustaz Dawi Cahyono
2) Ustaz Zuriat
3) Mohd Hakim (Presiden Rakan Masjid)
4) Ahmad Farhan ( Setiausaha Rakan Masjid)
5) Hafiz ( AJK Lajnah Da'wah dan Penerangan)
6) Azman (AJK Lajnah Da'wah dan Penerangan)

Lawatan kerja ini dibuat ke kampung orang asli yang bertempat di Kg Ayer Denak, Kampung Bali, Tronoh, Perak. Tujuan utama lawatan ini adalah untuk bertemu dengan tok batin dan juga imam di kampung ini untuk memaklumkan bahawa kg ayer denak ini telah dimasukkan ke dalam kawasan qariah masjid an-nur UTP.


Perjalanan menuju ke perkampungan orang asli menaiki kereta Ustaz Dawi. Mengambil masa setengah jam dari UTP.

Gambar rumah penduduk orang asli. Daif dan menginsafkan.

Di sana kami bersyukur kerana mendapati surau kampung itu masih tersergam indah dan boleh digunakan. Cuma kemudahan elektrik dan air sahaja yang terbatas. Mungkin dipotong kerana tidak dibayar. Kami cuma untuk mendapatkan maklumat dari penduduk kampung mengenai orang islam yang ada di kampung itu. Mengejutkan... tiada seorang pun muslim di kampung itu!!


Ustaz Dawi dan Akh Farhan menuju ke surau kuning

Menurut sumber itu, sebelum ini ada 5 orang islam yang ada di kampung itu dan mereka berlima inilah yang mengimarahkan surau itu. Kini, 5 orang islam itu telah tiada dan difahamkan mengikut kumpulan tabligh ke kelantan.


Berbual-bual dengan penduduk yang tinggal berhampiran surau untuk mendapatkan info.

Presiden Rakan Masjid (tiga dari kanan) sedang menerangkan maksud dan tujuan ziarah pada petang itu kepada penduduk. Turut kelihatan ialah Ustaz Dawi (empat dari kanan), akh Farhan, Setiausaha 1 RakanMasjid (dua dari kanan) dan akh Hafiz, wartawan dari Lajnah Da'wah dan Perhubungan ( kanan sekali)

Justeru, ana merasakan bahawa perlu ada usaha-usaha da;wah yang terancang dan stratergi untuk menghidupkan kembali qariah ini dengan nur islam. Malulah kita dengan mubaligh kristian yang sanggup meninggalkan keluarga dan kesenangan untuk masuk ke ceruk2 pendalaman semata-mata untuk mengkristiankan penduduk pendalam itu.

Kampung ini amat hampir dengan kita. Perjalanan menaiki kereta tak sampai setengah jam. Amat dekat. Justeru, Tanggungjawab da;wah itu semestinya jatuh ke bahu kita. Sesungguhnya,jalan da'wah itu terbentang luas di hadapan kita. Marilah kita fikirkan bersama, apa yang boleh kita sumbangkan untuk Islam...

Mohd Hakim Mohd Nor
Presiden Rakan Masjid

Waktu Dhuha
Selasa
12 ogos 2008


Saturday, August 9, 2008

Kalam Presiden Rakan Masjid (2) Isu Akademik dan Maksiat

Bismillahirahmanirahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Acapkali telinga ini mendengar persoalan lazim mahasiswa, “ Alamak. Susahnya subjek nie. Dah baca banyak kali pun tak faham-faham.” Tidak kurang juga yang mengeluh selepas keluar dari dewan peperiksaan. “Aduhai. Susah sungguh soalan tadi. Latihan dah buat banyak kali, tapi asyik tak dapat nak jawab aje bila exam”. Jika dihimpun bertingkat-tingkat semua keluhan dan rintihan ini, mungkin bangunan setinggi KLCC pun boleh terhapus dari pandangan mata kita.

Persoalannya, mengapakah keluhan ini seringkali keluar dari mahasiswa islam sedangkan kita dilabel dalam Al-Quran sebagai umat yang terbaik? Status terbaik itu sendiri sepatutnya menggambarkan bahawa kitalah johan dan ‘leader’ dalam apa jua bidang yang diceburi. Anehnya, kenapakah perkara itu jarang berlaku dalam bidang akademik? Dalam mencari jawapan kepada persoalan keramat ini, rupa-rupanya persoalan ini telah pun terjawab beberapa ratus tahun yang lampau.

Imam Syafie bertanya kepada gurunya Imam Waqie, “Mengapakah saya tidak dapat memahami dan menghafal pelajaran pada hari ini?” Lalu jawab Imam Waqi “ Sesungguhnya Ilmu itu cahaya dan cahaya tidak akan masuk ke dalam jiwa yang kotor dengan maksiat”. Sedangkan Imam Syafie yang merupakan ulama mazhab yang hebat pun terganggu pembelajarannya hanya kerana terlihat secara tidak sengaja betis wanita, apatah lagi kita yang setiap hari mungkin bergelumang dengan dosa-dosa samada secara sengaja atau tidak.

Justeru, amatlah penting bagi kita untuk mengkoreksi diri agar Ilmu yang kita pelajari itu diberkati oleh Allah. Kadangkala kita alpa dan lalai hingga secara tidak sedar terjebak dengan maksiat samada seoarang diri ataupun beramai-ramai. Sudah tentu kita tidak mahu ilmu yang kita pelajari dengan susah payah hilang begitu sahaja kerana maksiat yang kita lakukan ini.


Secara khususnya di UTP, terdapat beberapa maksiat yang dilakukan secara kerap hinggakan seolah-olah telah menjadi kebiasaan atau “habit” di kalangan warga kampus. Antaranya ialah penganjuran “event” yang diselitkan unsur maksiat seperti tarian wanita, pencampuran penonton lelaki dan wanita yang tidak terkawal, pakaian “performer” yang tidak menutup aurat dan banyak lagi . Semua ini bukan sahaja menggelapkan hati kita, bahkan seolah-olah sengaja mengundang amarah Allah. Sedihnya, ada di kalangan kita tahu perkara ini salah dan maksiat tapi masih mahu melakukannya.

Justeru, marilah kita bersama duduk sejenak berfikir kearah mana halatuju hidup kita selepas ini. Mengapakah setelah terbentang di hadapan kita petunjuk dan hidayah, masih ada yang menolaknya? Mungkin ada yang merasakan walaupun dengan melakukan dosa dan maksiat dia masih mampu mencapai kejayaan dalam akademik. Namun,banggakah kita mencapai kejayaan tersebut sedangkan saham akhirat kita tipis dan mungkin kering kontang?

Di hadapan kita telah terbentang dua jalan, satu membawa ke syurga manakala satu lagi membawa ke neraka. Pilihan ada di hati kita. Buatlah pilihan yang terbaik. Hanya hati yang bersih dapat membimbing kita ke syurga dan ianya datang setelah kita menghindari perbuatan-perbuatan dosa.

Kami di Rakan Masjid sentiasa berharap agar kita mahasiswa Islam bukan sahaja mampu menjadi Hamba Allah yang diredhainya, bahkan mampu menggegar dunia akademik dengan kejayaan-kejayaan yang membanggakan. Mulakan langkah pertama kita untuk merangkul kejayaan itu dengan menghindari perbuatan maksiat. Marilah kita buktikan bahawa Umat Islam itu memang yang terbaik samada dari segi akhlak , muamalat dan juga akademik!!! Insya Allah.

Sabtu

9 Ogos 2008

1.00 tengahari

Mohd Hakim Bin Mohd Nor,

Presiden Rakan Masjid,

Universiti Teknologi PETRONAS.

019-5708755

mohdhakim@rakanmasjid.com